Seni Khat


PENGENALAN ILMU SENI KHAT

Khat merupakan salah satu daripada hasil kesenian yang indah dan halus. Seni ini lahir dan berkembang dalam penulisan Arab dan terkandung dalam ruang lingkup peradaban Islam. Setelah kehadiran Islam, penulisan Arab telah memasuki tahap perkembangan yang begitu cepat. Pada abad pertama dan kedua Hijrah, khat merupakan salah satu ciri untuk memperindah sesuatu penulisan. Melalui khat, sesuatu maksud dapat diungkapkan. Khat turut menjadi unsur penting daripada cabang-cabang kesenian yang masih terpelihara hingga ke hari ini.
Khat ialah perkataan Arab yang bermaksud garisan. Seni khat bermaksud garisan indah yang membentuk tulisan. Ia juga bermaksud tulisan-tulisan (kitabah) yang terikat dengan peraturan dan kaedah yang telah dikaji dan ditentukan oleh mereka yang terlibat dengan kemajuan seni. Tulisan-tulisan Arab pula mempunyai nilai dan kaedah tertentu yang mempunyai estetika yang tinggi.
Seni khat bukan sekadar wacana penyampai maklumat tetapi mengandungi nilai-nilai abstrak yang disimpulkan dengan kehalusan, kelembutan, kesinambungan, perhubungan, pergerakan, keharmonian dan sebagainya.

      Persediaan Yang Perlu Ada Bagi Setiap Pelajar Yang Ingin Mempelajari Seni Khat

Terbahagi kepada dua iaitu :

i.                   Persediaan Fizikal

Tubuh badan yang sihat dan anggota yang sempurna. Walau bagaimanapun tidak menjadi masalah dan halangan bagi orang yang sempurna atau tidak cukup sifatnya asalkan mempunyai minat yang mendalam. Sebuah kisah penulis wanita, “Bintu Khaddan Wardi”. Sebagaimana yang telah dinaskan oleh Ishak dalam kitabnya tentang cerita pada zaman Raja al-Kamil pada bulan Syawal 624H telah datang dari Iskandariah seorang perempuan yang tidak menpunyai kedua belah tangan hingga ke siku.

Beliau melakukan segala kerja sebagaimana perempuan-perempuan lain dengan menggunakan kaki. Seorang menteri telah menemuinya dan membawa dakwat, kalam dan pisau lalu diberikan kepada perempuan tersebut. Dakwat itu diambil oleh perempuan tersebut dengan kaki kirinya, kemudian diambil kalam dan diraut dengan pisau, diasah, dibelah dan dipotong melintang kalam tersebut. Seterusnya diambil kertas dan memegangnya dengan kaki kiri dan menulis dengan kaki kanan dengan lebih baik dan cantik dari apa yang ditulis oleh penulis dengan tangan kanan mereka. Maha Suci Allah yang menjadikan sesuatu itu tidak sia-sia. Semoga cerita ini menjadi pendorong dan semangat kepada mereka yang betul-betul berminat untuk mendalami secara lebih luas dalam bidang seni khat ini.

ii.             Persediaan Mental

·                     Minat yang mendalam

·                     Emosi yang tenang

·                     Ketekunan yang jitu

 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.